Pengetahuan Asas Untuk Memelihara Kucing
Kucing merupakan salah satu haiwan kesayangan yang paling banyak dipelihara di dunia. Ciri-ciri yang terdapat pada kucing seperti kecomelannya, kelincahannya dan kenakalannya menarik perhatian semua pencinta kucing.
Seandainya anda mahu memelihara kucing, anda perlu tahu serba sedikit perihal penjagaan kucing demi menjaga kesihatan dan keselamatannya. Dari segi kesihatan, beberapa perkara perlu dibuat agar kucing peliharaan tidak sakit semasa di dalam penjagaan anda. Dari segi keselamatan pula, anda perlu tahu sikap ingin tahu kucing yang sangat tinggi adakalanya mengundang keadaan yang tidak sepatutnya berlaku.
Dari segi kesihatan, kucing sebaiknya diberi suntikan vaksin mengikut jadual yang ditetapkan. Ini termasuk ubat cacing dan pencegahan kutu. Dengan pemberian suntikan vaksin dan ubat-ubatan, ini dapat menghindarkan kucing daripada terkena penyakit. Selain itu, sebaiknya, kucing juga dimandulkan kerana langkah ini sangat disarankan demi kesejahteraan kucing. Perkara lain yang perlu diambil tahu adalah pemakanan kucing. Apabila mendapat makanan berkhasiat, kucing menjadi lebih sihat dan bulunya juga akan menjadi lebih cantik.
Mengenai faktor keselamatan pula, perkara ini sememangnya tidak boleh dipandang ringan. Sebagai contoh, seandainya anda tinggal di apartment yang tinggi, seharusnya dipasang jeriji atau penghadang yang bersesuaian agar kucing anda tidak terjatuh daripada tempat tinggi tersebut. Jika kucing dilepas bebas pula, seharusnya pemilik kucing untuk merasa bimbang kerana terdapat risiko-risiko seperti kucing dilanggar, dilarikan mahupun digigit haiwan liar apabila dibiarkan bebas.
Pemilik kucing juga perlu sentiasa merujuk sumber-sumber berkaitan penjagaan kucing agar ilmu yang diperolehi dapat dimanfaatkan demi menjaga haiwan kesayangan ini.
Ulasan
Catat Ulasan